Ucapan MB Selangor


Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan 1 Mei

Posted in Teks Ucapan Rasmi by ucapanmb on May 1, 2008

Kata Alu-Aluan
Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya memberikan penghargaan yang setinggi-tingginya
kepada seluruh pekerja sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2008, anjuran
Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), bertempat di Dataran
Kemerdekaan Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kepada Presiden dan
Ahli-Ahli Jawatankuasa Perhimpunan Hari Pekerja saya mengucapkan
jutaan terima kasih kerana memberi penghormatan kepada saya menurunkan
sepatah dua kata-kata aluan dalam buku Program ini.

2. Sehubungan itu, perlu dicatat dalam kata-kata aluan ini,
betapa perubahan besar berlaku dalam kerajaan negeri Selangor
khususnya, iaitu apabila tiga parti pembangkang – Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Tindakan Rakyat
Malaysia (DAP) bergabung menjadi Pakatan Rakyat dan kini membentuk
kerajaan negeri di Selangor, yang diterajui PKR menerusi jawatan
Menteri Besar Selangor yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri
(Ijok).

3. Catatan ini penting kerana senario perubahan dalam politik
turut mempengaruhi perubahan seluruh hala tuju pentadbiran, yang
tentunya membabitkan banyak perkara yang menyangkut kebajikan rakyat
Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, khususnya . Kebetulan,
Pakatan Rakyat memperoleh majoriti pengundi kerana dalam kempen
Pilihan Raya Umum Ke-12, kami menguar-uarkan banyak bentuk kebajikan
bakal dinikmati rakyat sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan
negeri. Alhamdulillah, berkat sokongan rakyat, kami parti-parti dalam
Pakatan Rakyat berjaya membentuk lima kerajaan negeri (Selangor,
Perak, Pulau Pinang, Kedah), dan Kelantan yang mengekalkan penguasaan.
Sepuluh daripada sebelas kerusi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula,
dikuasai Pakatan Rakyat.

4. Dalam hubungan ini, kami yakin barisan pemimpin dan AJK MTUC
tentu sudah menyediakan perancangan dan rangka kerjasama yang perlu
dibincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam Pakatan Rakyat,
agar beberapa perkara yang diuar-uarkan semasa kempen PRU-2, dapat
diperinci, dinilai dan dilaksanakan sepenuhnya, demi manfaat para
pekerja sektor swasta, mahupun para pekerja sektor awam.

5. Dalam ucapan pada Perhimpunan Hari Pekerja, Khamis, 1 Mei
2008, saya, selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, bakal menyentuh
kebajikan pekerja yang diyakini dapat meningkatkan kualiti hasil
kerja, iaitu antaranya, latihan kemahiran, soal upah atau gaji
minimum, faedah perubatan, faedah persaraan (termasuk pemecatan),
bonus, tambahan cuti bersalin, umur persaraan, dan umur persaraan.

6. Sebagai penutup kata-kata aluan ini, saya menyeru kepada
semua barisan pemimpin dan AJK MTUC, agar bersama kalangan pekerja
sedia menyempurnakan kerja yang disandang, termasuk tugas tambahan
lain yang diamanahkan oleh majikan, dengan memperlihatkan hasil akhir
atau “finished product” yang berkualiti. Sebab, jika hasil kerja
berkualiti tinggi, pastinya syarikat cepat mendapat untung banyak,
yang akhirnya soal pemberian bonus atau kemudahan lain boleh
ditunaikan majikan dengan ikhlas.

7. Perhimpunan Hari Pekerja ini sebenarnya, memberi ruang bagi
tuan-tuan dan puan-puan untuk berfikir, merenung dan merangsang minda
bagi melakukan tindakan proaktif dan seterusnya memperlihatkan hasil
lebih baik menjelang 1 Mei 2009.

Semoga Tuhan merestui dan memberkati Perhimpunan ini. Wassalam.

YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KAHALID IBRAHIM

Leave a comment