Ucapan MB Selangor


MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB WARGA EMAS

Posted in Teks Ucapan Rasmi by ucapanmb on May 1, 2008

UCAPAN YAB. DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
PADA MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB WARGA EMAS

TEMPAT : PEKARANGAN KELAB WARGA EMAS
SEKSYEN 24, SHAH ALAM

TARIKH : 19 APRIL 2008

MASA : 9.30 PAGI

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HI WABAKATUH;

YANG DIMULIAKAN PENGACARA MAJLIS TUAN HAJI YEM B. ISMAIL, MERANGKAP
SETIAUSAHA DAN PENGURUS KELAB WARGA EMAS

YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI RAMLI MAHMUD
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI

YANG AMAT DIHORMATI DATO’ SERI INDAH DIRAJA
ORANG KAYA MAHA BIJAYA DAERAH PETALING

YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI ABU BAKAR BIN HAJI ABDUL HAMID, SELAKU YANG
DI-PERTUA KELAB WARGA EMAS

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI

YANG BERUSAHA TUAN MAZALAN BIN MD. NOOR
DATUK BANDAR SHAH ALAM

DIF-DIF JEMPUTAN

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH.

SEBAGAI PEMBUKA KATA, MARILAH SAMA-SAMA KITA MEMANJATKAN RASA SYUKUR
KITA KEPADA ALLAH SUBHA NAHU WA TA’ALA KERANA DENGAN IZIN DAN
HIDAYAH-NYA DAPAT KITA HADIR KE MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB WARGA
EMAS SHAH ALAM PADA PAGI YANG PENUH BARAKAH INI.

2. SAYA DENGAN SUKACITANYA MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK
MENGUCAPKAN BERBANYAK-BANYAK TERIMA KASIH DAN SETINGGI-TINGGI
PENGHARGAAN KEPADA WARGA KELAB INI, KHUSUSNYA KEPADA YANG DI-PERTUANYA
YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI ABU BAKAR ABDUL HAMID, KERANA SUDI
MENGUNDANG SAYA HADIR UNTUK MENYAMPAIKAN UCAPAN DAN SETERUSNYA
MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB WARGA EMAS KALI YANG KEENAM
PADA PAGI YANG INI.

3. SEHUBUNGAN ITU, SAYA MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA
YANG BERBAHAGIA DATO’ HAJI ABU BAKAR DAN AHLI-AHLI JAWATANKUASA KELAB
KERANA BERJAYA MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG KELAB PADA HARI INI. DI
NEGERI SELANGOR, MEMANG TERDAPAT BANYAK PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN ATAU
NGO SEPERTI KELAB WARGA EMAS INI. TETAPI SAYA DIFAHAMKAN, KEBANYAKAN
NGO TIDAK AKTIF SEBAGAIMANA KELAB WARGA EMAS SHAH ALAM INI.

4. BAGI SAYA, MASYARAKAT DI SHAH ALAM, KHUSUSNYA WARGA TUA DAN
AHLI KELAB INI, MERUPAKAN KUMPULAN YANG BERNASIB BAIK KERANA MEMPUNYAI
SEBUAH RUMAH KELAB YANG AGAK CANGGIH DAN MENARIK. OLEH ITU,
DATO’-DATO’, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN AHLI KELAB INI PATUT BERASA
BANGGA DAN BERTERIMA KASIH KEPADA PIHAK KERAJAAN NEGERI DAN MAJLIS
BANDARAYA SAHAH ALAM KERANA KOMPLEKS KELAB INI HANYA TERDAPAT DI
SELANGOR DAN MUNGKIN DI MALAYSIA.

5. KERAJAAN NEGERI YANG DIBERI MANDAT UNTUK MENTADBIR NEGERI
INI SELEPAS PILIHAN RAYA KEDUA BELAS PADA 8 MAC YANG LALU, MEMANG
BERUSAHA MENGAMBIL BERAT TERHADAP KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN
KESELURUHAN RAKYAT SELANGOR DARIPADA SEMUA LAPISAN TERMASUK KALANGAN
RAKYAT WARGA USIA EMAS.

6. KITA BERNASIB BAIK KERANA DENGAN ADANYA KEMUDAHAN-KEMUDAHAN
KESIHATAN DAN AMALAN HIDUP SIHAT YANG DIAMALKAN OLEH SEMUA LAPISAN
RAKYAT, JANGKA HAYAT RAKYAT MALAYSIA KINI MENINGKAT KE 73 TAHUN BAGI
LELAKI DAN 76 TAHUN BAGI WANITA.

7. DALAM HUBUNGAN INI, JUMLAH RAKYAT WARGA EMAS YANG MASIH AKTIF,
SIHAT DAN MASIH BEKERJA DAN PRODUKTIF DI NEGARA KITA TERMASUK DI
SELANGOR SEMAKIN HARI SEMAKIN BANYAK. DI SELANGOR SAYA DIFAHAMKAN
JUMLAH RAKYAT USIA EMAS, IAITU ORANG YANG BERUMUR MELEPASI 56 TAHUN
KIRA-KIRA 48% DARIPADA KIRA-KIRA LIMA JUTA ORANG
PENDUDUK NEGERI SELANGOR, MENURUT BANCIAN 2007. INI BERMAKNA, JUMLAH
WARGA EMAS HAMPIR SEPARUH DARIPADA JUMLAH PENDUDUK SELANGOR
KESELURUHAN.

8. SAYA SENDIRI, BERSAMA YANG BERHORMAT DATO’ HASSAN ALI DAN
BANYAK AHLI YANG BERHORMAT LAIN, TERGOLONG DALAM KUMPULAN INI YANG
MASIH PRODUKTIF, BERTENAGA DAN MAMPU BEKERJA UNTUK MANFAAT BANGSA DAN
NEGERI SELANGOR KHUSUSNYA, DAN JUGA BAGI MANFAAT NEGARA MALAYSIA.

9. DI NEGARA-NEGARA BARAT SEPERTI BRITAIN, AMERIKA SYARIKAT,
EROPAH, AUSTRALIA BAHKAN SINGAPURA, JUMLAH AHLI MASYARAKAT DARIPADA
RAKYAT WARGA EMAS DIKATAKAN LEBIH RAMAI DAN TIDAK PULA MENJADI
LIABILITI KEPADA NEGARA. DI SINGAPURA, MISALNYA, GOLONGAN WARGA EMAS
DIAMBIL SEBAGAI PEKERJA DI RESTORAN MAKANAN SEGERA. DI NEGARA-NEGARA
BARAT, WARGA EMAS WANITA MASIH BEKERJA SEBAGAI PRAMUGARI DAN PEMBANTU
DI KOMPLEKS MEMBELI BELAH. RAMAI JUGA YANG BEKERJA SEBAGAI WARDEN
TRAFIK SECARA SUKARELA DENGAN HANYA DIBERIKAN ELAUN HARIAN.

9. SAYA PERCAYA KELAB INI BOLEH MEMAINKAN DUA PERANAN UTAMA DI
KOMPLEKS INI, IAITU AKTIVITI YANG BERFOKUS PADA KEBAJIKAN DAN
KEMAHIRAN PARA AHLI, DAN AKTIVITI-AKTIVITI YANG BERFOKUS PADA
PELAJARAN DAN PENDIDIKAN GOLONGAN MUDA, KHUSUSNYA GOLONGAN REMAJA.
AHLI-AHLI BOLEH MENGELOLAKAN CERAMAH ATAU SEMINAR SECARA SUKARELA DAN
PERCUMA, MISALNYA MENGENAI RAHSIA KEJAYAAN DAN PANDUAN MENCARI
KERJAYA, ATAU MOTIVASI DIRI MENUJU KECEMERLANGAN. INILAH ANTARA
AKTIVITI YANG HARUS DITEKANKAN OLEH KELAB.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SEKALIAN,

10. DALAM KONTEKS INI, SAYA INGIN MEMAKLUMKAN YANG KERAJAAN NEGERI
SELANGOR DALAM PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN BAHARU INI, KINI DALAM
PROSES MENGUMPULKAN FAKTA DAN MAKLUMAT BAGI MEMBENTUK DASAR BERKENAAN
DENGAN KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DALAM KALANGAN WARGA EMAS.
SAYA YAKIN, PENGALAMAN TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN BEKERJA DI SEKTOR AWAM
ATAU SEKTOR SWASTA DAPAT DISUMBANGKAN BAGI PEMBANGUNAN NEGARA KITA,
KHUSUSNYA DI SELANGOR INI. PENGALAMAN BEKERJA SEBAGAI JURUTERA,
PENTADBIR, AKAUNTAN, PEGAWAI KESELAMATAN, DOKTOR, ATAU PEGUAM,
MISALNYA, DAPAT TERUS DISUMBANG BAGI MANFAAT SEMUA PIHAK, TERUTAMA
GOLONGAN BELIA.

11. BAGI MEREALISASIKAN TUJUAN MURNI INI, SAYA MEMINTA KERJASAMA
YANG BERBAHAGIA DATO’ ABU BAKAR, SELAKU YANG DIPERTUA KELAB,
MENGEMUKAKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI SENARAI AHLI BESERTA BIODATA
LENGKAP UNTUK DIJADIKAN SUMBER RUJUKAN.

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIRAHMATI ALLAH,

12. KEJAYAAN MANA-MANA ORGANISASI BANYAK BERGANTUNG PADA
KEINGINAN DAN PENGORBANAN DALAM USAHA MENCAPAI MATLAMAT BAGI MEMENUHI
KEBAJIKAN AHLI-AHLI. DALAM HAL INI SAYA PERCAYA YANG BERBAHAGIA DATO’
ABU BAKAR DAN AHLI JAWATANKUASA MEMPUNYAI MEKANISME KHUSUS TERUTAMA
DALAM HAL MENYEBARKAN MAKLUMAT UNTUK DIKETAHUI OLEH SEMUA AHLI. INI
DEMIKIAN KERANA PERJALANAN KELAB BERBEZA DARIPADA PENGURUSAN
PERSATUAN, YANG SAYA YAKIN TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SUDAH SEDIA MAKLUM.

13. DARIPADA SEGI MENJALIN DAN MENGEKALKAN HUBUNGAN, MENJADI AHLI
KELAB MEMANG CARA YANG BERKESAN, ASALKAN KITA SEDIA MENGAMBIL TAHU DAN
TURUT SERTA MENJAYAKAN AKTIVITI YANG DISUSUN OLEH PENGURUSAN KELAB.
SEBALIKNYA, AHLI-AHLI JANGANLAH CUMA MENGHARAPKAN SUMBANGAN KEBAJIKAN
DARIPADA KELAB KETIKA JATUH SAKIT ATAU MENINGGAL DUNIA. SAYA
DIFAHAMKAN ADA AHLI-AHLI
CUMA DATANG SETAHUN SEKALI SEBELUM MESYUARAT AGUNG ATAU BILA ADA
MAJLIS-MAJLIS SOSIAL SAHAJA. PERBUATAN BEGINI TENTUNYA MENYIMPANG
DARIPADA MATLAMAT ASAL PENUBUHAN KELAB. MATLAMAT PENUBUHAN, ANTARANYA
SEBAGAI PUSAT AKTIVITI UNTUK AHLI-AHLI BERINTERAKSI DAN MELIBATKAN
DIRI DALAM PROGRAM-PROGRAM YANG DISUSUN OLEH JAWATANKUASA KELAB.

14. SAYA DIMAKLUMI KELAB INI MEMPUNYAI BANYAK KEMUDAHAN UNTUK
DIMANFAATKAN OLEH AHLI-AHLI YANG KINI BERJUMLAH 1,200 ORANG.
KEMUDAHAN TERMASUK GIMNASIUM, KLINIK, PERPUSTAKAAN, BILIK SEMINAR,
SURAU, DAN PADANG BOWLING PADANG. SEDANG DIBINA SEBUAH DEWAN
SERBAGUNA YANG BOLEH MENEMPATKAN SERAMAI 700 ORANG PADA SATU-SATU
MASA.

15. SAYA DIFAHAMKAN PIHAK KELAB BERJAYA MENDAPATKAN SUMBANGAN
RM750,000 DARIPADA YAYASAN PIHAK SWASTA TETAPI MASIH MENGALAMI
KEKURANGAN SEBANYAK RM250,000 TERMASUK KOS MEMASANG PENDINGIN UDARA.
SAYA TIDAK BOLEH MEMBUAT KOMITMEN APA-APA UNTUK MEMBANTU KELAB PADA
MASA INI KERANA KERAJAAN MENGAMALKAN DASAR BERBELANJA SECARA BERHEMAH
ATAU PRUDENT SPENDING.

16. WALAU BAGAIMANAPUN, YANG BERBAHAGIA DATO’ ABU BAKAR BOLEHLAH
MENULIS KEPADA SAYA, DAN SAYA AKAN BINCANGKAN DENGAN DATO’ SETIAUSAHA
KERAJAAN DAN DATO’ PEGAWAI KEWANGAN NEGERI. CUMA SAYA BERHARAP NANTI
SEKIRANYA KERAJAAN NEGERI DAPAT MEMBERI BANTUAN, DEWAN TERSEBUT DAPAT
DIMANFAATKAN JUGA OLEH KERAJAAN NEGERI UNTUK TUJUAN RASMI
KAKITANGANNYA.

17. SEBAGAI PENUTUP KATA, SAYA SAMPAIKAN DUA RANGKAP PANTUN:

PISANG EMAS DIBAWA BERLAYAR
MASAK SEBIJI DI ATAS PETI
HUTANG EMAS BOLEH DIBAYAR
HUTANG BUDI DIBAWA MATI

PERGI KE BENDANG MENAHAN LUKAH
DAPAT IKAN SEPARUH MATI
KALAU ADA SILAP DAN SALAH
JANGANLAH DISIMPAN DI DALAM HATI…

DENGAN LAFAZ BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA
MERASMIKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB WARGA EMAS SHAH ALAM
SELANGOR DARUL EHSAN, BUAT KALI YANG KEENAM PADA PAGI INI.

TERIMA KASIH

—–Original Message—–
From: Sulaiman Masri [mailto:suli306@gmail.com]
Sent: Tuesday, April 15, 2008 10:24 PM
To: Ramlah Mohd Amin
Subject: Teks Ucapan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

15 April 2008

Puan Ramlah,
Sila sesuaikan emel ini menjadi teks ucapan, sebagaimana biasa.
Traikh dikehendaki sbelum jam 12 hari ini. Terima kasih.

>>

Teks Ucapan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim
Merasmikan “Malam Kesenian dan Kebudayaan Banjar
dari Kalimantan Selatan, Indonesia”

Di Dewan Dato’ Hormat Tanjung Karang, Selangor
Pada 16 April 2008, Jam 8.30 Malam.

——————————

—————————-
—————————————–

Assalamualaikum warahmatullahhi Wabarakatuh,
Salam sejahtera, dan
Selamat malam

“gud-gud samuning
samuning samundalak
dalak kara yeng
kara yeng tujing-tujing
sakundai-kundai…”

Demikian, antara lagu dalam permainan orang Banjar yang pernah saya
dengar didendangkan oleh sekumpulan pelajar Banjar dalam suatu malam
kesenian di Sekolah Menengah Dato’ Harun, tempat pertama saya
memulakan kerjaya sebagai guru Matematik, kira-kira 43 tahun yang
lalu…

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis,

Yang Berusaha Dr. Sulaiman bin Shamsuri, selaku Yang di-Pertua
Pertubuhan Banjar Malaysia, beserta barisan ahli Jawatankuasa
Peringkat Pusat, dan Cawangan Tanjung Karang,

Yang Berbahagia Bapak Sharifudin, selaku Pengarah Kesenian dan
Kebudayaan Kalimantan Selatan, Indonesia, beserta rombongan,

Yang Mulia Tuan Haji Mohd Misri bin Haji Idris, Pegawai Daerah Kuala
Selangor,

dif-dif jemputan,
tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati.

Terlebih dahulu kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa
Ta’ala, kerana dengan izin-Nya juga kita dapat bertemu dalam Malam
Kesenian dan Kebudayaan Banjar dari Kalimantan Selatan, Indonesia.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pertubuhan Banjar
Malaysia, khususnya Cawangan Tanjung Karang, kerana inisiatif membawa
rombongan kesenian dan kebudayaan orang Banjar dari Kalimantan
Selatan, yang diundang oleh Kerajaan Negeri Melaka dalam program
Gendang Nusantara yang dilangsungkan di Bandaraya Melaka Bersejarah
pada 10 hingga 15 April lalu.

Sesungguhnya, usaha kunjung mengunjung seumpama itu mampu memberi
kesempatan kepada penduduk tempatan, sama ada kuturunan Banjar,
mahupun keturunan suku kaum lain, untuk mengeratkan hubungan menerusi
apresiasi kesenian dan kebudayaan antara dua negara serumpun.

Allah berfirman dalam al-Quran, yang antara lain bermaksud;
“…diciptakan golongan manusia dalam bentuk pelbagai kaum dan bangsa
supaya kamu dapat mengenali antara satu kaum dengan kaum yang lain.”

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah,

Daerah Banjarmasin di Kalimantan Selatan, Indonesia, sebenarnya saya
kenal betul, kerana sewaktu saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif atau
CEO agensi perladangan Guthrie, syarikat kami mempunyai ladang kelapa
sawit di beberapa tempat di sana, dan saya juga sudah beberapa kali
berada di sana.

Sehubung dengan perkara ini, ia juga bererti, selain kerjasama dalam
bidang kesenian dan kebudayaan, dua negara dapat juga mengeratkan
silaturrahim dalam pelbagai bidang, seperti ekonomi, pendidikan, dan
pelancongan.

Kita lakukan perkara-perkara seumpama, tidak lain dan tidak bukan,
untuk memberi kesempatan kepada rakyat terbanyak di dua negara
serumpun agar turut memperoleh sumber pendapatan sama ada menerusi
kerjaya sebagai karyawan kesenian dan kebudayaan, atau sebagai
karyawan dalam perladangan, pelancongan dan pengangkutan.

“ram-ram pisang
pisangku masak layu
masak sabigik
dihurung bari-bari…”

Demikian, satu lagi pantun Banjar yang pernah saya dengar ia
dinyanyikan oleh kanak-kanak berketurunan Banjar di Jeram, Selangor.

Sebagaimana yang kita maklum, dalam Negeri Selangor ini, memang
terdapat banyak orang Banjar, misalnya di kawasan Sungai Sirih, Sungai
Burung, Pasir Panjang, dan Sungai Besar.

Menurut rakan-rakan saya dalam Parti Keadilan Rakyat/PKR dan Parti
Pas, orang Banjar bisak bagawi (pandai buat kerja), harat ( cantik),
bisak mengajik (pandai membaca al-Quran), sukak badarau (suka
bergotong-royong), bisak mangolah wadai kiping (pandai buat kuih
puteri mandi), dan menghormati jiran tetangga atau kuku’ la ‘an.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya sekali lagi, mengucapkan tahniah kepada Pertubuhan Banjar
Malaysia, khususnya Cawangan Tanjung Karang, yang berusaha menjayakan
majlis pada malam ini.

Dengan lafaz Bismillah hirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan
“Malam Persembahan Kesenian dan Kebudayaan Banjar dari Kalimantan
Selatan, Indonesia.

Wasallamualaikum Warahmatullah hiwabarakatuh.
Terima kasih.

Pakatan Rakyat Mesti Bina Citra dan Jati Diri

Posted in Teks Ucapan Rasmi by ucapanmb on May 1, 2008

Jumaat, 25 April 2008; 18 Rabiul Akhir 1429.

Awas, Pakatan Rakyat, terus diasak kiri dan kanan; cuba disabotaj di
mana-mana; diremehkan di sana sini; cuba ditindih dan dihimpit atas
dan bawah!

Khususnya, pakatan PKR, yang memimpin pentadbiran kerajaan negeri
Selangor sekarang, nampaknya terus dipantau, diasak, dicerca, diremeh,
dileceh.

“General Umno” di Selangor yang kehilangan kuasa dan terus ‘gila
kuasa’ , Datuk Seri Mohd Khir Toyo, nampaknya terus mengepalai gerakan
‘ganggu’ terhadap gaya, perancangan dan tindakan pentadbiran kerajaan
negeri Selangor sekarang.

Walhal, sesungguhnya, kerajaan Negeri Selangor sekarang dikuasai
Pakatan Rakyat, yang pucuk kepemimpinan negeri diterajui PKR, dan YAB
Tan Sri Dato’ Abdul KHalid Ibrahim, kini Menteri Besar Selangor Darul
Ehsan.

Barisan kepemimpinan Umno/BN Selangor masih belum menunjukkan sikap
“gentlemen” walaupun sudah angkat sumpah menjadi Ahli Dewan undangan
Negeri pada Selasa, 22 April.

Menurut risikan, terdapat YB Umno dan orang mereka rancak memantau
dan merisik gaya dan gerakan pentadbiran Pakatan Rakyat di Tingkat 21
Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah @SUK, yang diterajui YAB
Tan Sri Khalid.

Diberitakan, di bangunan SUK masih ada “konco” Umno yang menghantar
emel atau memberi laporan lisan kepada “orang gila kuasa di luar sana”
(orgium) tentang pentabiran kerajaan negeri Selangor pimpinan YAB Tan
Sri Khlaid.

Menurut sumber, segelintir petugas media cetak dan media maya
(internet) di tingkat 4 dan tingkat 20 bangunan SUK, dan satu media
maya yang beroperasi di luar SUK, masih “berkonco” dengan “orgium”
tersebut, lantas “memberi atau menyebar maklumat” yang menguntungkan
pihak mereka.

Menurut pengamal media politik, pihak pentadbiran negeri Selangor
sekarang, terutama pihak pemantau atau penggempur Pakatan Rakyat,
khususnya PKR, mesti melakukan sesi “taat dan setia” terhadap
kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Khalid dalam kalangan petugas media di
SUK dan di luar, yang direkrut pentadbiran negeri Selangor yang
ditewaskan dalam PRU-12.

Tegasnya, semua petugas media, termasuk semua petugas di Bangunan
Salahuddin Abdul Aziz Shah@SUK mesti bertugas untuk kerajaan negeri
sekarang dalam kekuasaan Pakatan Rakyat, yang diterajui YAB Tan Sri
Khalid.

Mujurnya, kita harap dengan kehadiran bertugas Setiausaha Akhbar YAB
Dato Menteri Besar Selangor, hari ini dapat segera mengubah senario
petugas dan aktiviti media cetak dan maya di SUK yang “masih
membimbangkan Pakatan Rakyat”.

Mengapa tidak? Mata pena, dan kini jejari di kekunci komputer yang
dikirim oleh segelintir “petugas media yang masih berpihak kepada
orgiku Umno/BN”, ke alam alam maya (laman web), sesungguhnya lebih
tajam daripada mata pedang atau pisau cukur.

Barisan kepemimpinan Pakatan Rakat, terutama barisan Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Ahmas), pimpinan YAB Tan Sri Dato’
Abdul Khlaid Ibrahim,
termasuk kakitangan, mesti jangan pandang sebelah mata terhadap
perkara yang diperkatakan.

Kepemimpinan Kerajaan Negeri Selangor di bangunan SUK, mesti melakukan
“gerak mesra pekerja” sekerap mungkin bagi memastikan seluruh pekerja,
termasuk lantikan kerajaan pusat, agar sewajarnya “menyokong dan setia
bekerja” untuk kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Khalid, demi manfaat
seluruh rakyat negeri Selangor khususnya.

Malahan, tidak menjadi kesilapan sekiranya kerajaan negeri Selangor
sekarang bertindak “mengambil bekerja” kalangan petugas daripada
ahli Pakatan Rakyat bagi mengoperasi seluruh aktiviti media cetak dan
media maya, dan beberapa unit atau bahagian lain di SUK yang dianggap
“mudah” dipengaruhi oleh “golongan orgium”.

Ingat, seluruh pemimpin Pakatan Rakyat, barisan pemimpin sokongan,
para ahli PKR, PAS, DAP, serta pengundi mesti berusaha mengekalkan
kemenangan menjelang PRU-13, dan seterusnya.

Pakatan Rakyat di Selangor dan empat negeri lain, mesti membina citra
(imej) dan jati diri (identiti) mulai sekarang, dan memantapkannya
dalam peredaran masa yang singkat.

Pakatan Rakyat mesti berusaha mengekalkan kemenangan ini yang turut
didukungi jutaan ahli mahupun pengundi bagi kemenangan dalam PRU-13,
dan seterusnya. Justeru itu, jangan leka walau sedetik pun jua!

Ingat, dalam senyuman petugas media, atau petugas lain di tingkat 21
dan tingkat 20, bangunan SUK, terkandung seribu makna. Mungkin
ratusan senyuman sinis masih memihak kepada Umno/BN!

Wassalam.

Dr. Sulaiman Masri

YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM

Posted in Teks Ucapan Rasmi by ucapanmb on May 1, 2008

30 4 2008
Assalamualaikum,

Saudara Saudari Para Pekerja Yang Saya Hormati dan Kasihi,

Sebagai pembuka bicara, marilah kita mengucap syukur dan terima kasih
kepada Tuhan kerana menemukan kita pada Perhimpunan Hari Pekerja pada
pagi 1 Mei 2008 ini dalam suasana sejahtera, aman, tenteram dan ceria.
Jika kita menyorot keadaan dan suasana pada tahun 1949, iaitu ketika
sekumpulan pemimpin buruh (istilah yang digunakan beberapa ketika
dahulu, kini “pekerja”) berkumpul di satu tempat kerana membincangkan
perkara penubuhan “trade union”, mungkin kita turut terasa betapa daif
dan naifnya gerakan pekerja di Malaya ketika itu, yang masih dalam
kongkongan penjajah, dengan pelbagai kekurangan yang terpaksa
ditempuhi kalangan pekerja tanpa badan organisasi khusus yang membela
dan mendengar rintihan mereka. Hanya pada tahun 1955 barulah Kesatuan
yang mewakili golongan pekerja didaftarkan dalam Akta Pertubuhan, yang
kini dikenali dengan nama Malaysian Trades Union Congress (MTUC) atau
Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia. Ahli MTUC kini lebih 500 ribu
orang.

2. Seterusnya, saya, selaku Menteri Besar Negeri Selangor,
beserta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, dan bagi pihak ketua-ketua
jabatan dan majikan-majikan pelbagai jabatan sektor awam dan sektor
swasta, serta seluruh kakitangan, dengan ini, mengucapkan jutaan
terima kasih kepada Saudara-Saudari sebagai tanda penghargaan kami
terhadap sumbangan Saudara-Saudari beberapa tahun ini dalam kerjaya
masing-masing yang tentunya secara langsung memajukan negeri Selangor
hingga melayakkannya bergelar “negeri termaju di Malaysia” sejak 2004.

Syabas! Saudara-Saudari sebenarnya, turut memakmurkan rakyat di
Selangor Darul Ehsan khususnya, dan penduduk Malaysia keseluruhannya.

3. Sekarang, saya melanjutkann ucapan sempena Perhimpunan Hari
Pekerja 2008 ini, yang menyentuh banyak perkara khususnya bagi
kebajikan Saudara Saudari yang hadir dalam Perhimpunan ini, dan bagi
kalangan pekerja lain seluruhnya. Perkara-perkara yang saya ungkapkan
sebentar lagi sebenarnya merupakan “asam garam” kehidupan saya, yang
berpeluang mengumpul pengalaman sebagai pekerja mahupun sebagai ketua
dan majikan dalam sektor awan dan sektor swasta.

4. Sebagai contohnya, sewaktu saya berjawatan Ketua Eksekutif
(CEO) Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie, pekerja dalam
pengawasan saya berjumlah lebih 50 ribu orang. Saudari-Saudari
bayangkanlah, ibarat kata peribahasa kita, “rambut sama hitam tetapi
hati lain-lain”. Bermacam-macam karenah pekerja — ponteng kerja,
malas kerja, melawan ketua, mencuri peralatan pejabat, terlibat
menyalah guna dadah, peminum arak, suka berjudi, melakukan gangguan
seksual, dan seribu satu perangai lagi – pernah saya temui, hadapi dan
dapat menyelesaikannya, dengan bantuan ketua-ketua atau pihak
keselamatan.

Saudara Saudari yang dilindungi Tuhan,

4. Dalam Perhimpunan pagi ini, saya nanti mengemukakan lima enam
perkara yang memihak kepada kebajikan Saudara Saudari. Antaranya,
perkara-perkara tentang tambahan cuti bersalin, tentang gaji atau upah
mininum, penubuhan pusat latihan kemahiran, faedah perubatan, faedah
persaraan (termasuk pemecatan), waktu dan hari bekerja, dan penamaan
jalan sempena nama tokoh pekerja. Namun, sebelum saya menghuraikan
secara lanjut perkara-perkara tersebut, izinkan saya memperkatakan
dahulu perkara asas dalam hal hubungan antara pekerja dengan ketua
atau majikan. Harapan saya, penjelasan ringkas ini dapat memanfaatkan
generasi muda atau orang yang baru menceburi bidang kerjaya bergaji
tetap.

5. Pekerja, sebagaimana sifat tabii manusia ciptaan Tuhan,
tentulah juga mempunyai perasaan, emosi, keinginan dan memerlukan
layanan yang bersifat “memberi dan menerima” di samping memerlukan
kepuasaan bersifat “menang menang”. Oleh itu, pekerja dalam
organisasi, sama ada industri, syarikat, institusi, kilang, ladang,
sawah, kebun, perairan, atau gerai, maka hubungan antara pekerja
dengan ketua atau majikan perlu berada dalam sama ada hubungan “atas
ke bawah” yang autoritatif tetapi harmoni, atau hubungan “bawah ke
atas” yang terbuka tetapi bukan bersifat “melawan tauke”.

6. Dalam pengertian yang mudah, seseorang pekerja, setelah
menerima tawaran bekerja dalam kategori tertentu dengan bergaji atau
upah tertentu, mesti bekerja menurut arahan ketua atau majikan dalam
tugas membuat, membina, mengawas, menghasilkan, menyelenggara atau
melupuskan sesuatu sama ada barangan, produk, atau perkhidmatan.
Perhubungan antara pekerja bawahan dengan ketua atau majikan boleh
berbentuk “atas ke bawah’

7. Oleh itu, sikap sedia melakukan kerja dengan hasil yang
berkualiti, di samping bersikap jujur dan amanah, sukakan hubungan
yang harmoni dengan ketua atau dengan pekerja lain, hormat menghormati
dan ada sikap tolak ansur, atau menggunakan budi bicara dalam perkara
tertentu, terbukti mampu mewujudkan suasana yang kondusif di tempat
kerja mahupun di luar tempat kerja. Jika perkara-perkara tersebut
tidak wujud di tempat kerja, maka lama-lama kelamaan suasana kondusif
bertukar menjadi muram, menjemukan, menimbulkan ketegangan, dan
berkemungkinan mencetuskan perkelahian antara pekerja dengan pekerja,
atau antara pekerja dengan ketua atau majikan. Huru hara!

>> Bagaimanakah mewujudkan dan seterusnya mengekalkan suasana kondusif
lagi menyeronokkan di tempat kerja dan di tempat tinggal pekerja,
iaitu dalam kalangan keluarga pekerja?

9. Sekarang saya memperkatakan soal kebajikan dan manfaat bagi
kalangan pekerja, terutama yang bakal melibatkan kerajaan negeri
Selangor dengan Saudara Saudari….

10. Kerajaan Negeri Selangor sekarang yang ditadbir oleh Pakatan
Rakyat, iaitu gabungan Parti Keadilan Rakyat Malaysia (PKR), Parti
Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Rakyat Malaysia (DAP), dan
diketuai oleh saya selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, dibantu oleh
Ahli-Ahli Majlis Masyuarat, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua
Jabatan yang berpusat di Bangunan Salahuddin Abdul Aziz Shah @Bangunan
SUK, serta di seluruh negeri Selangor, kini mula melaksanakan
janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Ke-12. Contohnya, bermula Jun
ini, penggunaan air sehingga 20meter padu bagi rumah kediaman, diberi
percuma.

11. Kerajaan Negeri merancang melaksanakan cuti bersalin 90 hari
bagi pekerja wanita (pekerja wanita sahaja, ya!), iaitu sejajar dengan
amalan kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, yang sudahpun memberi
kemudahan cuti bersalin 90 hari, sejak beberapa tahun lalu. Dalam hal
ini, pihak MTUC dan kerajaan negeri Selangor nanti perlu berunding
lagi bagi melaksanakan kemudahan ini, sebab di Selangor pekerja
wanitanya ramai. Pihak kami dan majikan masih perlu berunding agar
apabila kemudahan ini dilakukan, pihak pekerja dan pihak syarikat atau
industri tidak mengalami kerugian. Di samping itu, cuti tambahan
bagi suami yang isterinya cuti bersalin, kini turut difikirkan untuk
dilaksanakan serentak. Tetapi, mungkin jumlah harinya tidak lebih
sepuluh hari. Memadailah jumlah hari cuti sedemikian, bagi suami
membantu meringankan tugas si isteri yang masih belum sihat.

Saudara Saudari yang dikasihi,

12. Berhubung dengan gaji minimum, kerajaan negeri Selangor
sekarang sedang mengkaji cara membantu pekerja, iaitu agar pekerja
yang sudah bertugas lima tahun ke atas, dibayar gaji tidak kurang
RM1500 sebulan. Di samping itu, dasar baharu sedang difikirkan, agar
semua pekerja di Selangor yang baru dilantik, perlu mendapat gaji
permulaan sebanyak RM1500 sebulan.

13. Dalam hal ini, kami barisan pemimpin Pakatan Rakyat yang
mentadbir Selangor, memang menyedari soal “tidak cukupnya” jumlah gaji
minimum sebulan yang diterima pekerja untuk menampung kehidupan dalam
waktu sekarang. Jika pekerja industri di bandar mendapat RM1000
sebulan, purata perbelanjaan bulanan seperti berikut; iaitu sewa
kediaman RM300, makan minum RM500, bil-bil RM100, pengangkutan RM200,
rencam RM100, ternyata jumlah perbelanjaan melebihi pendapatan. Ini
belum dikira jika pekerja beristeri dan ada anak, atau beberapa orang
anak. Mungkin, bagi pekerja di bandar kecil, bernasib baik kerana
mampu menabung RM50 atau RM100 setiap bulan, lantaran sewa rumah dan
harga makan minum agak murah. Justeru itu, jika semua pekerja
mendapat gaji minimum RM1500 sebulan, maka tentunya pekerja boleh sama
menikmati kehidupan lebih ceria. Mungkin pekerja mampu membantu ibu
bapa di kampung atau adik-adik yang masih sekolah.

14. Seterusnya, berkenaan dengan usaha menambah kemahiran,
Kerajaan Negeri Selangor bercadang melaksanakan penubuhan Institusi
Penyelidikan dan Kemahiran Pekerja bagi membolehkan pekerja mendapat
pengetahuan dan meningkatkan kemahiran bekerja dalam bidang tugas yang
ditetapkan. Sehubungan itu, kerajaan Negeri Selangor khususnya, kini
dalam proses mendaftarkan kalangan belia dan remaja berumur 21 tahun
hingga 35 tahun yang masih menganggur, supaya diberi latihan
berdasarkan minat, sebelum diberi kerja yang sesuai dengan kemahiran.
Dalam hal ini, kerajaan negeri memerlukan kerjasama dengan MTUC
dan para majikan.

Saudara Saudari yang budiman,

15. Kerajaan Negeri Selangor turut bercadang meneliti faedah
perubatan, faedah persaraan, waktu dan hari bekerja, umur persaraan,
pemberian bonus, dan termasuk soal pemecatan pekerja yang didapati
melakukan kesalahan tertentu. Namun begitu, perkara-perkara yang
dinyatakan masih perlu dibincangkan bersama Presiden dan AJK MTUC, dan
pihak majikan, dan pihak kerajaan. Harap Saudara Saudari bersabar dan
terus menjalankan tugas dengan mahir, dedikasi dan penghasilan yang
berkualiti. Tiga aspek ini, mahir, dedikasi dan berkualiti melayakkan
pekerja mendapat gaji yang setimpal, di samping menerima beberapa
faedah lain yang saya nyatakan tadi.

16. Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat
bukan hanya menghargai jasa dan sumbangan pekerja yang dedikasi
bekerja abagi menghasilkan produk berkualiti, tetapi juga menghargai
dan mengingati sumbangan dan jasa pekerja yang menunjukkan dedikasi
sebagai pemimpin pekerka. Sehubung dengan itu, Kerajaan Negeri
Selangor dan pihak MTUC bersetuju menamakan jalan di Selangor
sempena nama mendiang V. David (1932-2005), iaitu mantan Setiausaha
MTUC, yang menggunakan hampir separuh daripada usia beliau memimpin
MTUC demi manfaat ahli-ahli.

17. Seterusnya, saya menyeru Saudara Saudari dan seluruh pekerja
di negeri Selangor dan Malaysia, agar bekerja dengan rajin, jujur,
amanah, dedikasi, menghormati ketua, dan majikan. Juga, dalam
kesempatan ini, saya selaku Dato’ Menteri Besar Negeri Selangor,
beserta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat, dan wakil-wakil rakyat dewan
undangan negeri dan parlimen dalam Pakatan Rakyat, dengan rendah hati,
memohon kerjasama erat daripada barisan kepemimpinan MTUC dan
ahli-ahlinya yang kini melebihi 500 ribu orang, agar kita melaksanakan
perkara-perkara yang dinyatakan tadi demi kebajikan kalangan pekerja,
dan rakyat Selangor seluruhnya.

Perhimpunan Pekerja acara diwarisi
Jauh dan dekat tegur menegur
Saudari saudari bekerja penuh dedikasi
Faedah sama dirasa rakyat Selangor

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Semoga Tuhan memberkati Perhimpunan Hari Pekerja 1 Mei 2008 anjuran
MTUC. Wassalam.

YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM
Menteri Besar Selangor.

Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan 1 Mei

Posted in Teks Ucapan Rasmi by ucapanmb on May 1, 2008

Kata Alu-Aluan
Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya memberikan penghargaan yang setinggi-tingginya
kepada seluruh pekerja sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2008, anjuran
Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), bertempat di Dataran
Kemerdekaan Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Kepada Presiden dan
Ahli-Ahli Jawatankuasa Perhimpunan Hari Pekerja saya mengucapkan
jutaan terima kasih kerana memberi penghormatan kepada saya menurunkan
sepatah dua kata-kata aluan dalam buku Program ini.

2. Sehubungan itu, perlu dicatat dalam kata-kata aluan ini,
betapa perubahan besar berlaku dalam kerajaan negeri Selangor
khususnya, iaitu apabila tiga parti pembangkang – Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Tindakan Rakyat
Malaysia (DAP) bergabung menjadi Pakatan Rakyat dan kini membentuk
kerajaan negeri di Selangor, yang diterajui PKR menerusi jawatan
Menteri Besar Selangor yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri
(Ijok).

3. Catatan ini penting kerana senario perubahan dalam politik
turut mempengaruhi perubahan seluruh hala tuju pentadbiran, yang
tentunya membabitkan banyak perkara yang menyangkut kebajikan rakyat
Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, khususnya . Kebetulan,
Pakatan Rakyat memperoleh majoriti pengundi kerana dalam kempen
Pilihan Raya Umum Ke-12, kami menguar-uarkan banyak bentuk kebajikan
bakal dinikmati rakyat sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan
negeri. Alhamdulillah, berkat sokongan rakyat, kami parti-parti dalam
Pakatan Rakyat berjaya membentuk lima kerajaan negeri (Selangor,
Perak, Pulau Pinang, Kedah), dan Kelantan yang mengekalkan penguasaan.
Sepuluh daripada sebelas kerusi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula,
dikuasai Pakatan Rakyat.

4. Dalam hubungan ini, kami yakin barisan pemimpin dan AJK MTUC
tentu sudah menyediakan perancangan dan rangka kerjasama yang perlu
dibincangkan dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam Pakatan Rakyat,
agar beberapa perkara yang diuar-uarkan semasa kempen PRU-2, dapat
diperinci, dinilai dan dilaksanakan sepenuhnya, demi manfaat para
pekerja sektor swasta, mahupun para pekerja sektor awam.

5. Dalam ucapan pada Perhimpunan Hari Pekerja, Khamis, 1 Mei
2008, saya, selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, bakal menyentuh
kebajikan pekerja yang diyakini dapat meningkatkan kualiti hasil
kerja, iaitu antaranya, latihan kemahiran, soal upah atau gaji
minimum, faedah perubatan, faedah persaraan (termasuk pemecatan),
bonus, tambahan cuti bersalin, umur persaraan, dan umur persaraan.

6. Sebagai penutup kata-kata aluan ini, saya menyeru kepada
semua barisan pemimpin dan AJK MTUC, agar bersama kalangan pekerja
sedia menyempurnakan kerja yang disandang, termasuk tugas tambahan
lain yang diamanahkan oleh majikan, dengan memperlihatkan hasil akhir
atau “finished product” yang berkualiti. Sebab, jika hasil kerja
berkualiti tinggi, pastinya syarikat cepat mendapat untung banyak,
yang akhirnya soal pemberian bonus atau kemudahan lain boleh
ditunaikan majikan dengan ikhlas.

7. Perhimpunan Hari Pekerja ini sebenarnya, memberi ruang bagi
tuan-tuan dan puan-puan untuk berfikir, merenung dan merangsang minda
bagi melakukan tindakan proaktif dan seterusnya memperlihatkan hasil
lebih baik menjelang 1 Mei 2009.

Semoga Tuhan merestui dan memberkati Perhimpunan ini. Wassalam.

YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KAHALID IBRAHIM


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.